Rabu, 30 April 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Peranan penting penjawat awam

Posted: 30 Apr 2014 11:57 AM PDT

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

Penjawat awam menjadi tulang belakang kerajaan dan kecekapan mereka bekerja juga memberi impak kepada imej kerajaan. - UTUSAN

SABAN tahun akan diadakan sambutan Majlis Hari Pekerja Penjawat Awam dan kali ini Kedah terpilih sebagai tuan rumah acara berkenaan.

Majlis yang diadakan di Dewan Wawasan, Jitra itu adalah anjuran bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Walaupun acara rutin, majlis sedemikian cukup penting sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada anggota sektor awam yang telah memberi khidmat bakti bagi menjayakan program pembangunan negara.

Ia juga sebagai tanda terima kasih kepada kakitangan kerajaan yang bertungkus lumus menjayakan program transformasi perkhidmatan awam seperti yang digariskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa ucapan Bajet 2013.

Antara perubahan yang dicadangkan beliau adalah penjawat awam mesti menerapkan budaya produktiviti, kreativiti dan inovasi bagi membolehkan mereka memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Amalan kerja pula mestilah cepat, tepat dan berintegriti bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap prestasi perkhidmatan awam.

Bagi menjayakan transformasi perkhidmatan awam, dua agensi kerajaan iaitu JPA dan Kementerian Kewangan telah dipilih sebagai penggerak utama.

Selain itu, majlis berkenaan juga bertujuan mewujudkan hubungan murni antara pekerja dan majikan, dengan harapan kerjasama erat yang sedia terjalin akan terus kekal dan dipertingkatkan untuk kepentingan dan faedah bersama.

Mengulas mengenai sambutan kali ini, Presiden Cuepacs, Azih Muda berkata, tema yang dipilih adalah Penjawat Awam Tiang Seri Negara.

Beliau berkata, ia selaras dengan hakikat bahawa 1.5 juta kakitangan kerajaan merupakan nadi dan inspirasi perkhidmatan awam negara serta penentu kejayaan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan.

Tema ini dipilih selaras dengan peranan serta fungsi penjawat awam dalam membantu kerajaan membangunkan negara," katanya.

Berikutan peranan penting penjawat awam itu, Azih berkata, pihaknya juga mengemukakan beberapa permintaan kepada Perdana Menteri dalam satu pertemuan Isnin lalu.

Menurut beliau, permintaan itu sebenarnya datangnya daripada kakitangan kerajaan di peringkat akar umbi yang menerima kesan daripada kenaikan harga barangan.

Kita meminta dikaji semula beberapa elaun dan insentif penjawat awam termasuk elaun tetap perumahan, elaun perkhidmatan awam dan tuntutan perjalanan yang sudah lama tidak naik walaupun kos sara hidup kian meningkat.

Kadar hotel juga perlu dikaji. Adakah adil setiap kali buat urusan rasmi kerajaan, kami kena tanggung sendiri bayaran hotel?

Elaun perjalanan juga masih pada kadar yang lama sedangkan harga petrol sudah naik. Jarak yang dilalui sama tapi kos yang dibayar lebih," katanya yang turut memaklumkan Najib dijangka akan menghadiri majlis sambutan hari ini.

Menurut Azih, permintaan lain adalah supaya dikaji tempoh pengesahan seseorang penjawat awam yang terlalu lama iaitu antara satu hingga tiga tahun sekarang.

Selagi tidak dapat pengesahan, mereka tidak boleh beli rumah dan tidak boleh pinjam bank. Akhirnya mereka pinjam ah long. Oleh itu masa pengesahan jawatan patut dipendekkan kepada satu hingga enam bulan," ujarnya.

Katanya, Cuepacs turut mencadangkan supaya ditukar status kuarters kerajaan sebelum merdeka menjadi rumah sewa kerajaan dan dikenakan sewa pada kadar RM124 sebulan.

Jika kuarters ini jadi rumah sewa, maka baki elaun perumahan setelah tolak sewa perlu dipulangkan kepada penjawat awam. Contohnya, kalau elaun perumahan RM180, sudah tolak sewa RM124 akan ada lagi baki RM56," jelasnya.

Beliau berkata, Cuepacs juga tidak bersetuju dengan tindakan memperkecilkan perkhidmatan awam yang dilaksanakan ketika ini kerana ia memberi kekangan hebat kepada jabatan untuk melaksanakan dasar-dasar yang telah ditetapkan.

Kita turut meminta kerajaan mengubah pengiraan ganjaran persaraan daripada 7.5 peratus kepada 10.5 peratus, selain jumlah pencen dinaikkan daripada 60 peratus kepada 70 peratus," ujarnya.

Walaupun kita masih menunggu apakah pengumuman menggembirakan daripada kerajaan sempena Hari Pekerja 2014, satu hakikat yang harus diakui bahawa banyak transformasi perkhidmatan awam yang telah berjaya dilaksanakan berikutan sokongan tidak berbelah bahagi daripada semua kakitangan kerajaan.

Oleh itu, sudah sampai masanya segala penat lelah penjawat awam terbabit dihargai.

Antara transformasi yang dapat dilihat adalah berlakunya peningkatan terhadap kompetensi, prestasi, produktiviti dan daya inovasi penjawat awam.

Ini berikutan langkah menempatkan semula seramai 171 pegawai JPA yang telah berkhidmat melebihi 10 tahun sebagai duta kecil di agensi pelaksana sekali gus menjadikan mereka sebagai contoh untuk diikuti.

Kerenah birokrasi juga telah berjaya dikurangkan dengan pengenalan aplikasi telefon mudah alih mySMS dan myUSSD bagi memastikan segala urusan dengan rakyat dapat dijalankan dengan pantas.

Bagi individu yang memohon jawatan dalam perkhidmatan awam, mereka hanya perlu menunggu 30 hari untuk mendapat jawapan berbanding 120 hari sebelum ini.

Sebagai usaha merakyatkan perkhidmatan, penjawat awam tidak lagi hanya berada dalam pejabat malah turut turun padang memberikan bantuan kepada mangsa banjir di Pahang dan Terengganu baru-baru ini.

Penubuhan Unit Integriti di lapan kementerian dan pembangunan empat modul yang melibatkan patriotisme, etos, integriti dan nilai murni yang diterapkan dalam kursus Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) akan melahirkan penjawat awam yang cintakan negara, berbudi pekerti dan beretika tinggi.

Walaupun transformasi perkhidmatan awam bukanlah perkara mudah untuk dilaksanakan tetapi ia bukanlah sesuatu yang mustahil jika dilihat kepada pencapaian setakat ini.

Kepada semua penjawat awam, kita mengucapkan terima kasih dan selamat menyambut Hari Pekerja 2014.

Dalil Malaysia menyertai PSI

Posted: 30 Apr 2014 11:57 AM PDT

Byline="Azmi Hassan">

SELEPAS lebih satu dekad lamanya Washington memujuk Kuala Lumpur supaya menyertai program Inisiatif Keselamatan Pengawalan Senjata (PSI) khusus untuk mengekang penularan senjata pemusnah besaran (WMD), akhirnya ia berjaya ketika lawatan Presiden Barack Obama ke Malaysia beberapa hari lalu.

PSI diperkenalkan oleh bekas Presiden AS, George W. Bush pada tahun 2003 kerana iktibar daripada peristiwa penahanan kapal So Sen dari Korea Utara yang membawa muatan 15 peluru berpandu Scud yang sedang menuju ke Yemen.

Tetapi penahanan tersebut dianggap tidak sah dari segi perundangan antarabangsa dan So Sen dibenarkan menuju ke destinasi asalnya.

Ketika PSI mula diperkenalkan ia hanya disertai oleh 11 negara iaitu Australia, Perancis, Jerman, Jepun, Belanda, Portugal, Sepanyol, United Kingdom, Itali, Poland dan Amerika Syarikat (AS).

Namun, kini sebanyak 103 buah negara telah menyatakan sokongan terhadap program ini dan Malaysia adalah negara terbaharu menyertai inisiatif yang dipelopori oleh AS. Selain Malaysia terdapat lima negara ASEAN yang lebih awal menyertai PSI iaitu Singapura, Filipina, Brunei, Kemboja dan Thailand.

Dalil utama mengapa Kuala Lumpur tidak menyertai PSI pada awalnya adalah kerana program ini bukan inisiatif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan dikhuatiri ia tidak berpaksikan perundangan antarabangsa.

Walau bagaimanapun Washington tetap berhujah bahawa PSI adalah selari dengan kehendak beberapa resolusi Majlis Keselamatan PBB iaitu 1718, 1737, 1747, 1803 dan 1540.

Timbul kemusykilan persetujuan Malaysia menyertai PSI adalah kerana syak wasangka wujudnya elemen paksaan atau membuli ketika lawatan Obama ke Kuala Lumpur. Ungkapan membuli ini juga sering timbul terutama sekali apabila isu Perkongsian Trans Pasifik (TPP) di kaitkan dengan tujuan sebenar lawatan Presiden AS ke Malaysia.

Perlu diungkit kembali beberapa bulan setelah Obama dilantik sebagai Presiden AS pada 2009, beliau telah menghantar Timbalan Setiausaha Negara James B. Steinberg khusus untuk memujuk Kuala Lumpur menyertai PSI. Ini adalah kerana antara agenda utama yang dibincangkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meliputi isu seperti senjata nuklear dan WMD.

Agenda perbincangan dianggap mempunyai maksud tersirat memandangkan Malaysia tidak mempunyai pengalaman atau teknologi kedua-dua perkara tersebut. Lebih menjadi menarik apabila kedua-dua isu tersebut dikaitkan dengan dua negara yang menjadi tumpuan pada ketika itu iaitu Korea Utara dan Iran.

Harapan tinggi Washington supaya Kuala Lumpur menyertai PSI pada ketika itu perlu juga dikaitkan dengan Malaysia yang baru sahaja dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Gabenor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Badan ini merupakan gabungan 35 negara ahli IAEA yang bertemu lima kali setahun yang antara lain merangka dasar dan hala tuju IAEA mengenai pembangunan nuklear.

Tetapi pada hakikatnya adalah walaupun Kuala Lumpur tidak menyertai PSI secara rasmi sebelum ini, ia tidak memberi erti bahawa Malaysia tidak bersungguh-sungguh dalam usaha untuk mengekang penularan WMD.

Perlu ditekankan sejak Majlis Keselamatan PBB meluluskan resolusi 1540 pada 2004 untuk mengekang penularan senjata nuklear, kimia dan biologi, Malaysia telah berusaha membentuk perundangan yang selari dengan kehendak resolusi tersebut.

Pada 2010 umpamanya Parlimen meluluskan rang Undang-Undang Perdagangan Strategik yang antara lain berperanan kritikal untuk melindungi pengeksport Malaysia daripada dipergunakan dan dijadikan saluran haram untuk pembekalan kelengkapan strategik WMD.

Terdapat beberapa kes yang melibatkan Malaysia secara tidak langsung dalam pembabitan pengedaran senjata terlarang ini. Pada 2007 umpamanya, seorang rakyat Pakistan-Amerika iaitu Jilani Humayun didapati bersalah melanggar Akta Pengawalan Eksport Senjata AS. Terpalitnya Malaysia adalah kerana Humayun mempergunakan syarikat yang didaftarkan di Malaysia.

Perlu diungkit juga pada 2004 Malaysia telah dituduh sebagai salah sebuah negara rangkaian pasaran gelap nuklear Abdul Qader Khan dari Pakistan. Kesemua kes tersebut berlaku kerana akta kawalan eksport Malaysia sedia ada tidak mampu menangani isu WMD yang agak kompleks terutama sekali yang melibatkan teknologi dwi-penggunaan.

Memang benar jika terdapat andaian bahawa Kuala lumpur menyertai PSI sedikit sebanyak disebabkan oleh Obama. Terdapat kesahihan dalam persepsi sedemikian kerana Washington ketika era Obama lebih memberi perhatian kepada perundangan antarabangsa berbanding dengan presiden sebelum beliau iaitu Bush.

Menyentuh isu tuntutan bertindih Laut China Selatan ketika pertemuan di antara Najib dan Obama, Washington memberi jaminan bahawa isu ini perlu diselesaikan melalui sistem perundangan antarabangsa.

Begitu juga semasa Obama melawat Jepun, beliau juga memberi penekanan serupa kepada Perdana Menteri Shinzo Abe bahawa isu perebutan Kepulauan Sensaku/Diaoyu dengan China perlu berlandaskan asas perundangan.

Paling nyata adalah kemelut yang membabitkan Ukraine dan Rusia, pentadbiran Obama lebih mementingkan penyelesaian melalui saluran perundangan iaitu tekanan ekonomi berbanding dengan strategi ketenteraan.

Asas Manila yang bersetuju memeterai perjanjian dengan Washington untuk membenarkan penempatan lebih ramai tentera AS di Filipina walaupun isu ini dianggap begitu sensitif adalah kerana Istana Malacanang akur dengan pendekatan Obama yang mendahului perundangan antarabangsa dalam setiap tingkah laku Washington.

Serupa juga dengan Kuala Lumpur akhirnya bersetuju menyertai PSI bersama-sama dengan 102 negara lain adalah kerana Washington di bawah pentadbiran Obama tidak akan memaksa negara lain dengan menggunakan kekuatan tentera AS tetapi menggunakan pendekatan menghormati pendirian negara lain.

PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved