Jumaat, 25 April 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Memahami cabaran ibu berkerjaya

Posted: 25 Apr 2014 10:58 AM PDT

Oleh RAJMAH HASAN
rencana@utusan.com.my

PERAH susu dalam stor, bilik fail, dalam tandas, bawah meja?! Kedengaran begitu janggal dan payah tetapi itulah hakikat yang terpaksa dilalui segelintir ibu bekerja yang masih menyusukan bayi, terutama yang bukan Islam.

Bagi Muslim, surau dijadikan tempat ibu-ibu bekerja ini memerah susu bagi memastikan stok susu perahan mereka mencukupi untuk diminum oleh bayi semasa ditinggalkan bersama pengasuh di rumah.

Senario seumpama itu bukan asing di negara ini memandangkan kesedaran dalam kalangan majikan menyediakan kemudahan berkaitan untuk memenuhi keperluan ibu-ibu bekerja ini masih rendah.

Perkara itu dikongsi Pensyarah Perubatan dan Pakar Patologi (Hematologi) Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Dr. Faridah Idris ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

"Barangkali bilangan majikan yang menyediakan bilik laktasi (kemudahan untuk memerah susu) boleh dikira dengan jari.

"Sebagai alternatif, ibu-ibu menggunakan lokasi tidak sesuai sekali gus mendedahkan mereka kepada keadaan tidak bersih dan boleh menjejaskan kualiti susu," katanya.

Beliau yang juga konsultan susu ibu berkata, perkembangan semasa menunjukkan kesedaran memberi susu badan kepada bayi semakin meningkat di kalangan wanita muda.

Namun beliau tidak menolak ketiadaan sokongan keluarga, masyarakat dan majikan untuk sama-sama menjayakan hasrat kerajaan agar semua bayi diberi susu ibu akan memudarkan semangat mereka.

Menurutnya, semua pihak melibatkan suami, pembantu taska dan majikan berperanan dalam membantu ibu bekerja ini menyeimbangi tuntutan keluarga dan kerjaya.

"Sudahlah nak perah susu di pejabat susah, sesetengah pembantu taska dan tadika pula enggan menerima perahan susu ibu dengan alasan leceh dari segi penyediaan berbanding susu formula.

"Tekanan sebegini boleh membuatkan sesiapa sahaja untuk berhenti terus daripada memerah susu dan menyusu bayi mereka serta beralih kepada pemberian susu formula sepenuhnya," katanya.

Jika sebuah bilik khas memerah susu lengkap dengan fasiliti sinki dan peti ais dianggap remeh oleh sebahagian besar majikan, beliau meminta mereka berfikir panjang untuk merenung hakikat berikut:

* Bayi yang disusukan oleh susu ibu adalah lebih sihat. Ini dapat mengurangkan perbelanjaan perubatan atau insurans syarikat;

* Dapat mengurangkan beban pengambilan cuti oleh pekerja wanita sekiranya anak sakit;

* Sekiranya kebajikan kakitangan dijaga, pekerja dapat memberikan perhatian sepenuhnya kepada tugasan dalam bidang kerja mereka. Ini dapat memastikan bahawa mereka lebih produktif;

* Jika bilik laktasi disediakan, ini dapat memudahkan si ibu untuk merancang harinya dengan lebih baik (tidak perlu bergegas ke tempat penjagaan anaknya semata-mata untuk menyusukan anaknya).

Untuk menjadi sebuah negara maju, kata Dr. Faridah, sokongan memenuhi keperluan kebajikan pekerja-pekerja wanita amat penting memandangkan golongan itu mewakili 52.4 peratus tenaga kerja di pasaran kini.

Sekiranya tidak, katanya, hasrat kerajaan mencapai 55 peratus penyertaan tenaga wanita di Malaysia menjelang 2015 akan tersasar.

"Apa yang penting kita mantapkan kemudahan sokongan sedia ada. Jika selama ini kita hanya menggalakkan majikan menyediakan pusat jagaan kanak-kanak, apa kata kalau kita wajibkan?

"Mungkin juga boleh laksanakan penyeliaan lebih ketat ke atas pengusaha-pengusaha taska dan tadika untuk tingkatkan mutu penjagaan kanak-kanak agar tidak banyak memberi masalah kepada ibu bapa.

"Atau pertimbangan mewujudkan lebih banyak pusat jagaan sementara bagi membolehkan ibu bapa meletakkan anak-anak selepas waktu persekolahan sementara menunggu mereka mengambil anak-anak selepas waktu pejabat," katanya.

Malaysia seharusnya mencontohi negara maju yang mana pekerja wanita diberi penghargaan sewajarnya kerana mereka dianggap aset penting dalam sama-sama meningkatkan ekonomi negara. Sesetengah negara Eropah memperuntukkan cuti bersalin enam bulan hingga setahun, manakala majikan di Amerika Syarikat pula, bersaing undi menjadi antara syarikat mesra wanita terbaik.

Antara keutamaan mereka ialah menyediakan persekitaran pekerja mesra keluarga iaitu kemudahan nurseri serta mengamalkan integrasi kehidupan bekerja untuk menarik lebih banyak penyertaan wanita.

"Kebenaran waktu kerja anjal termasuk mengguna pakai kaedah job sharing iaitu satu kerja diberi kepada dua petugas dan ini memberi kelebihan kepada mereka bertukar giliran bekerja di pejabat.

"Pendekatan outcome based performance juga disenangi pekerja kerana majikan hanya menilai hasil kerja cemerlang disiapkan dalam tempoh ditetapkan dan tidak mengikat mereka di pejabat," katanya.

Bagi memastikan negara tidak hilang tenaga kerja profesional, beliau menyokong sebarang pelaksanaan mekanisme memberi peluang pekerja wanita yang berhenti untuk kembali bekerja.

"Mungkin boleh diadakan polisi yang memberi kelonggaran kepada kakitangan wanita untuk berhenti sementara daripada pekerjaan bagi melahirkan anak dan kembali bekerja setelah anak mereka membesar," katanya.

Sementara itu, ditanya kemampuannya memikul empat tugas iaitu sebagai isteri, ibu, doktor pakar dan kini penulis, katanya, beliau bersyukur kerana mendapat sokongan penuh daripada keluarga.

Walaupun ibu kepada enam anak perempuan berusia antara dua hingga 16 tahun itu masih menyusukan anak bongsunya, beliau sempat mencuri masa menghasilkan buku bertajuk Membesarkan anak hebat dengan susu ibu sebagai panduan komprehensif kepada ibu-ibu bekerja.

"Ia buku panduan lengkap disampaikan dalam bahasa Melayu ringkas meliputi pelbagai topik termasuk persediaan sebelum dan selepas menjadi ibu, tips penyusuan di lapangan, mengendalikan bayi jaundis antara terkandung dalam buku 400 muka surat ini," kata graduan Universiti Malaya tahun 1998 itu.

Dr. Faridah akan bersama seorang lagi penulis, Mardiana Mat Ishak selaku panel, manakala Nora Herni bertindak moderator dalam forum Wanita Berkerjaya: Realistik ataupun Tidak? bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PABKL) 2014, bermula pukul 11 pagi, esok.

PABKL 2014 diadakan selama 11 hari bermula 24 April dan berakhir 11 Mei ini berlangsung di Tingkat 4, Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan dibuka kepada orang ramai bermula pukul 10 pagi hingga 7 malam pada Isnin hingga Khamis, manakala 10 pagi hingga 9 malam (Jumaat hingga Ahad termasuk cuti umum).

Pemilihan PKR: Siapa yang bakal gigit jari?

Posted: 25 Apr 2014 10:58 AM PDT

Oleh ZULKIFLEE BAKAR

Bermula hari ini melalui konsep Satu Ahli Satu Undi ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) di seluruh negara akan mula mengundi bagi memilih barisan kepimpinan parti itu bagi peringkat pusat.

Sementara Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kekal sebagai Presiden melalui sandiwara politik yang diatur oleh suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jawatan timbalan presiden pula bakal menyaksikan pertandingan enam penjuru.

Perhatian sudah tentulah terarah kepada penyandang jawatan tersebut Azmin Ali yang akan berhadapan lima pencabar lain termasuklah daripada musuh ketat politiknya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution yang mewujudkan satu pasukan bersama seorang lagi yang dikatakan tidak mesra dengan Azmin iaitu Nurul Izzah Anwar.

Walaupun Nurul Izzah tidak bertanding jawatan timbalan presiden sebaliknya mahu mempertahankan kerusi naib presiden namun gabungan bersama Saifuddin memberi isyarat siapa yang beliau mahu sebagai timbalan kepada ibunya, Wan Azizah.

Bagaimanapun penulis diberitahu oleh sumber-sumber yang rapat dengan parti itu, biar apa pun cabaran dan taktik politik yang cuba digunakan oleh musuh-musuh politik Azmin, Ahli Parlimen Gombak itu dijangka tidak menghadapi masalah untuk mengekalkan jawatannya.

Azmin dikatakan cukup popular di peringkat akar umbi seluruh negara dan kedudukan itu berbeza dengan Abdul Khalid yang dikatakan hanya mendapat sokongan di Selangor manakala Saifuddin pula dilihat sekadar calon kacau daun.

Perkembangan terkini ini sudah tentulah tidak menyenangkan penyokong-penyokong Wan Azizah, Nurul Izzah, Abdul Khalid dan juga Saifuddin. Ia memandangkan mereka dikatakan mahu melihat pemilihan kali ini sebagai detik menguburkan karier politik Azmin dalam PKR.

Sebab itulah apabila Anwar mengumumkan menarik diri daripada bertanding kerusi Presiden bagi memberi laluan kepada Wan Azizah mengekalkan jawatan, kelompok ini menghantar mesej di dalam laman sosial bahawa keputusan Anwar menyebabkan ada orang yang gigit jari.

Bukan rahsia lagi, insan yang dikatakan terpaksa gigit jari itu dituju kepada Azmin kerana pada awal lagi ada cadangan dan desakan supaya Azmin bertanding jawatan Presiden bagi mencabar Wan Azizah. Bagaimanapun Azmin dikatakan begitu setia untuk melihat langkah politik Anwar dalam pemilihan kali ini, tetapi ia akhirnya dilihat hanya merugikan Azmin.

Bagaimanapun kerugian yang dimaksudkan hanyalah terlepas jawatan Presiden tetapi dari segi mengekalkan jawatan sebagai orang nombor dua parti, Azmin dikatakan mempunyai peluang cukup cerah. Keadaan ini sudah tentulah tidak akan menyenangkan Wan Azizah yang mungkin di bibir sahaja berikrar akan bekerjasama dengan sesiapa juga yang menjadi timbalannya, tetapi semua orang tahu apa sentimen sebenar beliau jika Azmin menang.

Begitu juga dengan Abdul Khalid yang sering sahaja terancam kedudukannya sebagai Menteri Besar apabila Azmin dilihat memainkan peranan sebagai pengkritik nombor satu beliau. Kemenangan yang memihak kepada Azmin akan menyebabkan kedudukan politik Abdul Khalid juga sedikit tergugat.

Abdul Khalid mahu memenangi jawatan timbalan presiden bukan semata-mata bagi memastikan kedudukannya sebagai Menteri Besar Selangor kukuh tetapi apa yang lebih penting menyingkirkan musuh ketat politiknya iaitu Azmin dalam percaturan politik PKR.

Namun begitu hasrat Abdul Khalid dijangka tidak akan kesampaian kerana Azmin dilihat mempunyai sokongan kukuh di peringkat akar umbi. Kelemahan Abdul Khalid dalam menangani pelbagai isu di Selangor termasuklah terbaharu krisis air menyebabkan beliau dilihat bukanlah orang yang paling sesuai untuk berada di sisi Wan Azizah sebagai timbalan.

Apa pun pemilihan PKR kali ini menyaksikan parti itu tidaklah sesempurna mana. Sama ada hendak diakui atau tidak sejak penyerahan borang calon baru-baru ini pelbagai taktik politik kotor diamalkan dalam parti tersebut.

Jika sebelum ini pemimpin-pemimpin PKR begitu mendabik dada menyatakan parti mereka mengamalkan demokrasi dan sering mengecam kononnya wujud politik kotor dalam UMNO hakikatnya mereka lebih buruk daripada UMNO.

Sudah pastilah orang yang paling teruk diserang peribadinya ialah Azmin. Terdapat risalah yang diedar mendedahkan dakwaan skandal Azmin. Ini belum lagi mengambil kira bagaimana wujudnya pemasangan sepanduk-sepanduk yang bertujuan meranapkan kredibiliti Azmin.

Walaupun tindakan sedemikian dikatakan tidak mampu menggugat Azmin yang dilihat mendapat sambutan hangat setiap kali turun bertemu ahli-ahli PKR di seluruh negara tetapi itulah wajah politik sebenar PKR.

Dalam keghairahan mereka menuding jari menuduh UMNO dengan pelbagai tuduhan tidak berasas, PKR sendiri hakikatnya sedang dilumuri dengan pelbagai masalah. Ketika Anwar terpaksa turun naik mahkamah, Wan Azizah pula terus memainkan peranan sebagai peraih simpati, perebutan kuasa dalam PKR sudah tidak mampu disembunyikan lagi.

Pemimpin-pemimpin PKR mungkin terlupa atau sengaja melupakan bahawa politik adalah berkaitan kuasa dan kedudukan malah dalam politik juga tiada musuh atau kawan yang kekal. Begitulah dalam pemilihan kali ini, masing-masing ingin mengukuhkan kedudukan kerana merasakan PKR kini semakin kuat dan berpeluang untuk meraih lebih banyak kerusi dalam pilihan raya.

Tambahan pula, pemilihan itu juga bakal penentu kepada corak kepimpinan PKR selepas ini jika Anwar gagal dalam rayuannya di peringkat Mahkamah Persekutuan selepas dijatuhi hukuman penjara lima tahun atas dakwaan meliwat bekas pembantunya Mohd.Saiful Bukhari Azlan.

Pemimpin-pemimpin PKR amat memahami sejauh manakah keupayaan Wan Azizah untuk menjadi pemimpin utama parti itu. Beliau bukanlah ahli politik tulen tetapi ahli politik 'bidan terjun' yang diwujudkan oleh PKR apabila Anwar dipecat daripada kerajaan dan UMNO pada 1998.

Ketika ini Wan Azizah bergantung sepenuhnya kepada Anwar untuk mengemudi PKR dan sudah tentulah apabila Anwar terpaksa menjalani hukuman penjara, Wan Azizah akan menjadi Presiden PKR paling lemah. Dan pada masa itu sudah tentulah Wan Azizah amat memerlukan timbalan yang beliau percayai dan tidak mempunyai apa-apa sentimen. Jika Azmin kekal sebagai timbalan presiden, ia bukanlah kedudukan yang selesa bagi Wan Azizah.

Apa pun semua pihak perlu menunggu pemilihan selesai pada 11 Mei ini untuk melihat siapakah pemimpin PKR yang akan gigit jari kerana tewas dalam pemilihan yang belum tentu akan berjalan secara aman dan kalau pun kekecohan berlaku ia bukanlah sesuatu yang ganjil bagi sebuah parti yang ditubuhkan melalui demonstrasi jalanan tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved