Rabu, 30 April 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Bina jambatan kedua Temerloh

Posted: 30 Apr 2014 11:58 AM PDT

ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
utusanktn@gmail.com

Mohd. Sharkar Shamsuddin (tengah) melakukan pemeriksaan kesihatan dalam Majlis Sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Daerah Temerloh di Pusat Rukun Tetangga Taman Saga, Mentakab, semalam.

TEMERLOH 30 April - Kerajaan bercadang membina jambatan kedua bersebelahan Jambatan Temerloh bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas di laluan utama sekali gus memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya khususnya penduduk setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Sharkar Shamsuddin berkata, pada masa ini kerajaan sedang giat melakukan kajian bagi menyiapkan kertas kerja mengenai cadangan pembinaan jambatan tersebut.

"Kita bercadang membina satu lagi jambatan di sebelah jambatan sedia ada yang akan menjadi laluan sehala seterusnya mampu mengelakkan kesesakan lalulintas.

"Ini merupakan keperluan yang mendesak dan saya berharap dapat dibina dengan segera," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Daerah Temerloh di Pusat Rukun Tetangga Taman Saga, di sini hari ini.

Sharkar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri berkata, pembinaan jambatan berkenaan juga amat signifikan memandangkan laluan itu merekodkan jumlah trafik yang tinggi.

Bagaimanapun katanya, kajian teliti perlu dilakukan memandangkan pembinaan jambatan itu memerlukan kos yang tinggi.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa mengotakan janji dan mengutamakan kebajikan rakyat apabila pelbagai pembangunan infrastruktur dilakukan secara berterusan meskipun Parlimen Temerloh dimenangi pembangkang pada pilihan raya umum lalu.

Tambahnya, antara pembangunan infrastruktur termasuklah penambahbaikan Masjid Temerloh yang sedang dalam proses mengeluarkan tender.

Selain itu katanya, pelbagai kemudahan lain akan dilaksanakan di daerah ini seperti pembinaan pusat pengajian tinggi yang mampu melonjakkan pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat setempat.

"Kita minta pembangkang supaya tidak perlu bising dan lebih sudu daripada kuah kerana kita tahu apa yang kita akan buat, malah, setakat ini segala janji telah dikotakan," ujarnya.

MERS-CoV: Kerajaan negeri teruskan pemantauan

Posted: 30 Apr 2014 11:58 AM PDT

Norol Azali Sulaiman (kanan) melawat kaunter pemeriksaan gigi dalam Majlis Sambutan Hari Tibi Peringkat Daerah Bera di Dewan Komuniti, Bandar 32, Bera, kelmarin.

BERA 30 April - Pihak berkuasa kesihatan negeri tidak mengambil mudah berhubung Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS-CoV) walaupun tiada kes yang dikesan berlaku di negeri ini setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Norol Azali Sulaiman berkata, sebaliknya pihak berkuasa sentiasa berwaspada dengan mengambil beberapa tindakan seperti pemantauan berterusan terutama kepada mereka yang baru pulang dari Asia Barat.

"Ini khususnya yang melibatkan keadaan kesihatan para jemaah umrah yang baru tiba di tanah air. Selain itu, kita turut memantau ahli keluarga terdekat para jemaah.

"Ini kerana kemungkinan individu berkenaan (pembawa) mempunyai imun tinggi tetapi keluarga terdekat mereka yang mempunyai imunisasi lemah mungkin berisiko," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Tibi Peringkat Daerah Bera di Dewan Komuniti, Bandar 32, di sini semalam.

Yang turut hadir Pegawai Kesihatan Daerah Bera, Dr. Wan Rosealaiza Wan Abd. Ghani.

Menurut Norol Azali, penerangan dan maklumat mengenai wabak tersebut juga akan terus dihebahkan kepada orang ramai bagi memastikan dapat dicegah lebih awal.

"Saya juga meminta kerjasama masyarakat sekiranya mempunyai tanda-tanda awal MERS-CoV supaya datang ke hospital dan klinik berhampiran bagi melakukan pemeriksaan," katanya.

Kaunter timbang di setiap pasar negeri ini

Posted: 30 Apr 2014 11:58 AM PDT

JERANTUT 30 April - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri akan menempatkan kaunter timbang di setiap pasar besar di negeri ini bagi memastikan tiada penipuan dalam urusan jual beli di negeri ini.

Pengarah PPDNKK negeri, Sharuddin Jali berkata, pembukaan kaunter yang dikendalikan seorang pegawai PPDNKK itu mula dilaksanakan pada awal tahun ini dan akan diperluaskan secara berperingkat.

"Pada masa ini kita telah membuka enam kaunter di pasar-pasar terpilih di seluruh negeri yang mempunyai jumlah pelanggan yang ramai iaitu di Kuantan, Temerloh, Rompin, Jerantut, Raub dan Kuala Lipis.

"Kita merancang membuka lebih banyak lagi kaunter seperti ini dan dalam waktu terdekat akan membuka dua lagi kaunter di pasar yang akan dikenal pasti," katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di Pasar Besar Jerantut, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah PPDNKK negeri, Abdul Kadir Al-Jailani Mohd. Sharif.

Menurutnya, pembukaan kaunter yang bermula dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari itu dilihat amat signifikan dalam memastikan penjual sentiasa mematuhi garis panduan ditetapkan.

Katanya, pembukaan kaunter seperti itu juga akan memberi peluang kepada pengguna untuk melaporkan secara langsung aduan kepada pegawai PPDNKK untuk tindakan segera.

"Mana-mana peniaga yang kita dapati tidak mengikut peraturan ditetapkan akan dikenakan tindakan yang tegas mengikut peraturan yang ditetapkan,"katanya.

Dalam pada itu, Sharuddin berkata, dalam memastikan harga barangan pengguna terkawal dan mencukupi pihaknya melakukan pemantauan pada setiap hari.

Katanya, berdasarkan pemantauan tersebut pihaknya akan melihat trend harga barang seterusnya mengambil langkah-langkah yang tepat bagi mengatasi kenaikan harga yang boleh membebankan pengguna.

Sementara itu, mengulas mengenai lawatan mengejut ke Pasar Besar Jerantut, beliau amat berpuas hati dengan tindakan penjual mempamerkan tanda harga dan menggunakan alat timbangan yang betul.

"Kita berpuas hati dengan lawatan pada kali ini yang mana semua peniaga mematuhi peraturan ditetapkan. Jadi kita berharap perkara ini akan berterusan dan pengguna boleh membuat aduan sekiranya terdapat peniaga yang tidak mematuhi peraturan,"ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved