Isnin, 28 April 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Kerajaan Pusat salur RM1.3 juta

Posted: 28 Apr 2014 12:08 PM PDT

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

KUANTAN 28 April - Sebanyak 11 rumah kebajikan kelolaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang didaftarkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak 2012 sehingga akhir bulan lalu mendapat geran tahunan daripada Kerajaan Pusat yang keseluruhannya berjumlah RM1.3 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, pemberian geran tahunan itu bagi memastikan rumah kebajikan terlibat mendapat suntikan kewangan, sekali gus menyediakan kemudahan selesa dan sistematik kepada penghuninya.

"Rumah kebajikan yang menerima geran tahunan ini antaranya menempatkan orang kurang upaya (OKU) serta anak yatim.

"Selain untuk menyediakan kemudahan selesa, geran ini membolehkan setiap rumah kebajikan melaksanakan aktiviti kepada penghuni masing-masing," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Sim Chong Siang (PKR-Teruntum) berhubung peruntukan atau sumbangan kerajaan negeri kepada rumah kebajikan untuk membantu penghuninya memperoleh kemudahan yang selesa.

Adnan berkata, daerah Kuantan menerima geran tahunan iaitu kira-kira RM264,750 melibatkan tiga rumah kebajikan iaitu Pusat Jagaan Kanak-kanak Rapha, Bengkel Sampul Surat Sungai Lembing dan Persatuan Kebangsaan Autisme.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa komited dalam membantu rumah kebajikan dalam menyediakan kemudahan sempurna untuk penghuninya selain memastikan boleh beroperasi tanpa sebarang masalah.

"Penyediaan geran ini adalah bagi memastikan penghuni rumah kebajikan yang terdiri daripada anak yatim, OKU dan kurang berkemampuan dilindungi dengan sebaik-baiknya serta memperoleh segala kemudahan yang disediakan.

"Oleh itu, kerajaan negeri menerusi JKM sentiasa memantau perkembangan rumah kebajikan supaya mereka tidak diabaikan," katanya.

Hutan simpan, tadahan air boleh dibatal gazet

Posted: 28 Apr 2014 12:08 PM PDT

KUANTAN 28 April - Status kawasan hutan simpan dan tadahan air yang telah diwartakan boleh dibatalkan jika kawasan berkenaan didapati tidak sesuai untuk tujuan berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kawasan tersebut boleh dijadikan tempat penanaman pokok, kawasan perumahan ataupun boleh diwujudkan pembangunan bandar baharu.

"Perkara seperti ini pernah berlaku dan kerajaan negeri sentiasa melihat kesesuaian kawasan hutan simpan dan tadahan air," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Wan Kadri Wan Mahusin (BN-Bukit Ibam) yang ingin tahu usaha kerajaan bagi pemulihan semula hutan simpan kekal dan kawasan tadahan air di negeri itu termasuk jumlah keluasan kawasan berkenaan.

Adnan berkata, jumlah keluasan kawasan cadangan hutan simpan kekal yang dicadangkan oleh pihak Jabatan Perhutanan negeri ialah 17,994.4 hektar manakala kawasan tadahan air 258,707.56 hektar.

Beliau berkata, usaha kerajaan bagi memulihkan kawasan hutan simpan kekal dengan mengadakan inventori selepas tebangan dan melaksanakan rawatan silvikultur seperti tanaman mengaya serta pemotongan akar pepanjat.

"Di samping itu, tanaman kawasan lapang dan pelaksanaan program tanaman pokok melibatkan orang kampung, pelajar sekolah dan masyarakat Orang Asli turut diadakan bagi memulihkan kawasan hutan.

"Kita juga melaksanakan penanaman semula bagi memastikan kawasan hutan simpan ini sentiasa terpelihara," katanya.

Sementara itu, katanya, pembalakan di hutan simpan tadahan air yang dilulus dan diwartakan kerajaan negeri adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Berhubung soalan Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak (BN-Tahan) mengenai jumlah hasil hutan simpan diwartakan, Adnan berkata, apabila diwartakan sudah tentu tiada hasil kerana hutan tidak boleh diterokai.

ADUN pembangkang boleh melawat semula kilang Lynas - Shahaniza

Posted: 28 Apr 2014 12:08 PM PDT

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob (kiri) bersama semua ADUN, termasuk 12 ADUN pembangkang diberi taklimat oleh Ismail Bahari (tiga dari kanan) semasa lawatan kali pertama ke kilang pemprosesan nadir bumi, Lynas di Gebeng, Pahang, baru-baru ini. - UTUSAN/MAHATHIR ALI

KUANTAN 28 April - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang tidak berpuas hati dengan lawatan ke kilang Lynas, Rabu lalu boleh berbuat demikian sekali lagi bagi mendapatkan butiran lanjut berhubung operasi loji memproses nadir bumi tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, pengurusan kilang tersebut terbuka kepada mana-mana pihak termasuklah pemimpin pembangkang untuk melakukan lawatan.

"Saya rasa tidak semua ADUN pembangkang yang tidak berpuas hati dalam taklimat dan lawatan yang diadakan itu, cuma ada beberapa sahaja yang kata tidak cukup masa.

"Soal tidak cukup masa saya rasa tidak timbul kerana semasa taklimat setiap ADUN diberikan banyak masa untuk menanyakan soalan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar berhubung kenyataan beberapa ADUN pembangkang yang masih tidak berpuas hati walaupun diberi peluang bertanyakan pelbagai soalan dalam sesi lawatan ke kilang berkenaan Rabu lalu.

Dalam lawatan yang dihadiri kesemua ADUN negeri ini termasuk 12 wakil pembangkang itu, mereka dibawa meninjau operasi di keseluruhan loji tersebut di samping menerima taklimat terperinci selama kira-kira tiga jam daripada pihak pengurusan Lynas.

Shahaniza yang juga penganjur lawatan itu berkata, jika masih tidak berpuas hati, ADUN pembangkang boleh memohon masa yang lebih lama walaupun lawatan Rabu lalu dilihat cukup menyeluruh.

"Taklimat yang diberikan oleh pakar-pakar kilang tersebut cukup padat dan memberi banyak informasi kepada para ADUN," katanya.

Sementara itu, ADUN Bukit Ibam, Datuk Wan Kadri Wan Mahusin berkata, penerangan yang diberikan oleh Penasihat Keselamatan Radiologi Lynas Prof. Dr. Ismail Bahari dan beberapa pakar dari kilang tersebut cukup jelas dan padat.

"Tetapi saya lihat pembangkang ini hanya menanyakan soalan yang seolah-olah ingin menunjukkan bahawa kilang tersebut tidak selamat.

"Namun bagi saya apa yang telah dijelaskan oleh pakar ini telah membuktikan bahawa kilang ini selamat seperti kilang-kilang biasa," katanya.

Katanya, beliau sudah menjangkakan bahawa pembangkang akan memutar belit isu ini walaupun telah diterangkan dengan teliti dalam taklimat tersebut.

"Namun jika tidak berpuas hati, pembangkang boleh aturkan satu lagi rombongan untuk melawat kilang ini dan bolehlah pihak Lynas memberikan lebih lama taklimat kepada mereka," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved