Sabtu, 26 April 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


20,000 liter minyak diesel dirampas

Posted: 26 Apr 2014 12:02 PM PDT

Oleh Mohd. Fairuz Yusof
utusanpahang@utusan.com.my

Sebuah bot disyaki menjalankan aktiviti penjualan minyak bersubsidi tanpa permit sah ditahan oleh Maritim Malaysia di Kuantan, baru-baru ini. - Mingguan/AHMAD ZAKKI JILAN

KUANTAN 26 April - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) daerah ini merampas 20,000 liter minyak diesel daripada sebuah bot yang didaftarkan di negara jiran kerana disyaki menjalankan aktiviti penjualan minyak bersubsidi tanpa permit yang sah di sini kelmarin.

Turut ditahan ialah seorang tekong dan tiga awak-awak warga Thailand serta dua lelaki tempatan yang berada di dalam bot Doungkamon 8 itu.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim 8 Kuantan, Kepten Ab. Aziz Idrus berkata, pihaknya yang membuat rondaan mengesan bot terbabit berada dalam keadaan mencurigakan kira-kira 1.8 kilometer dari Kuala Kuantan.

"Siasatan awal mendapati petak ikan bot tersebut telah diubah suai menjadi peti simpanan minyak disyaki minyak diesel bersubsidi dalam kuantiti yang banyak," katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, kesemua yang ditahan kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

263 penternak ikan terima bantuan RM323,300

Posted: 26 Apr 2014 12:02 PM PDT

Shafik Fauzan Sharif (dua dari kanan) beramah mesra dengan penternak ikan sambil diperhatikan Adnan Hussin (kanan) pada majlis Penyerahan Bantuan Ihsan Banjir di Temerloh, baru-baru ini.

TEMERLOH 26 April - Kerajaan membelanjakan sebanyak RM323,300 bagi menyalurkan bantuan ihsan kepada 263 penternak ikan yang terjejas akibat banjir di seluruh negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, bantuan yang diberikan secara berperingkat-peringkat itu berdasarkan kepada penilaian terhadap kerosakan dan kerugian setiap peserta akibat banjir besar yang melanda penghujung tahun lalu.

"Kita berharap bantuan ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban penternak terbabit seterusnya membuktikan keikhlasan serta keprihatinan kerajaan terhadap pengusaha terlibat.

"Pada masa ini, hanya penternak di Pekan sahaja melibatkan 100 penternak masih belum menerima bantuan ini manakala kawasan lain telah selesai diagihkan secara berperingkat,"katanya demikian selepas majlis Penyerahan Bantuan Ihsan Banjir 2013 kepada penternak ikan daerah ini, Bera dan Maran, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengarah Perikanan negeri, Adnan Hussin.

Pada majlis itu, seramai 57 peserta terdiri daripada 26 penternak di Temerloh, Bera (16) dan Maran (15) menerima bantuan masing-masing dengan nilai peruntukan keseluruhan sebanyak RM71,900.

Menurut Shafik Fauzan, bantuan berkenaan merupakan antara bantuan diberikan akibat bencana banjir pada tahun lalu selain wang ihsan kepada mangsa-mangsa banjir yang terjejas.

Dalam pada itu, seorang penerima bantuan yang cacat penglihatan, Mohd. Bahkri Md. Said, 63, berkata, bantuan berkenaan amat bermakna dalam membantu meneruskan penternakan ikan yang menjadi sumber pendapatan utamanya.

"Saya amat berterima kasih kepada pihak kerajaan. Ini menunjukkan janji dibuat sebelum ini bukanlah janji kosong semata-mata. Saya akan menggunakan wang ini untuk membeli benih ikan dan membaiki sangkar yang rosak," katanya.

Bapa kepada empat orang anak yang berasal dari Kampung Lubuk Paku, Maran itu berkata, dia juga amat terharu dengan bantuan berterusan yang diberikan kerajaan bagi meningkatkan pendapatannya.

26 pengusaha sertai promosi kraf di ECM

Posted: 26 Apr 2014 12:02 PM PDT

KUANTAN 26 April - Seramai 29 pengusaha kraf merangkumi batik, tenunan dan songket, seramik, logam, hasil rimba serta aneka kraf mengambil bahagian dalam Hari Promosi Kraf 2014 peringkat negeri yang berlangsung di pusat beli-belah East Coast Mall (ECM) di sini.

Pameran bertempat di ruang legar pusat beli-belah itu berlangsung selama empat hari dan berakhir esok itu dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin (gambar) berkata, program yang turut mendapat kerjasama Pejabat Pelancongan negeri itu bermula pukul 10 pagi dan berakhir 10 malam.

"Program ini bertujuan memberi peluang kepada usahawan kraf mempromosi dan memasarkan produk kraf secara terus kepada pengguna.

"Selain itu, program ini dapat memperluas kraf berdasarkan kepada kuasa membeli yang tinggi dalam kalangan pengunjung pusat beli-belah ini," katanya demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan Hari Promosi Kraf tersebut di sini kelmarin

Yang turut hadir Pengurus Besar Pelancongan negeri, Ishak Mokhtar dan Pengarah Tourism negeri, Mohd. Faharuddin Hatmin.

Selain jualan kraf katanya, turut diadakan pameran tentang latihan jangka pendek oleh Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja.

"Orang ramai yang berminat untuk melihat pelbagai hasil kraf termasuk batik dan tenunan boleh mengunjungi ECM," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved