Jumaat, 25 April 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Projek ternakan lebah madu tambah pendapatan penduduk

Posted: 25 Apr 2014 10:58 AM PDT

ZAINAL Dahalan (tiga dari kiri) melihat kotak yang dijadikan sarang lebah untuk menghasilkan madu di Kuala Tahan, Pahang, kelmarin. Turut kelihatan Ahmad Nazlan Idris (dua dari kiri) dan Arpan Shah Satu (kiri).

KUALA TAHAN 25 April - Pendapatan daripada jualan madu lebah kini mampu memberi pulangan lumayan berikutan permintaan yang tinggi terhadap produk itu.

Walaupun madu lebah boleh diperoleh atau dibeli dari pelbagai tempat, namun ramai yang tertanya-tanya adakah ia benar-benar asli?

Sehubungan, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) kini mengorak langkah mahu menjadikan kawasan Ulu Tembeling untuk projek ternakan lebah madu.

Pembabitan LPP dalam projek itu bertujuan menjamin pasaran madu yang dihasilkan adalah asli.

Projek ternakan lebah madu itu melibatkan beberapa buah kampung termasuk Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Mat Daling, Kampung Bantal dan banyak lagi.

Pengerusi LPP, Datuk Zainal Dahalan memberitahu, mereka yang berminat mengusahakan ternakan lebah madu itu akan terlebih dahulu Menjalani kursus khas di Johor.

Menurutnya, setelah tamat kursus, LPP sedia menyalurkan bantuan tertentu kepada peserta terbabit untuk memulakan usaha ternakan lebah madu berkenaan.

"Bantuan ini termasuk menyediakan kotak yang dijadikan sarang untuk lebah membiak, bot sebagai pengangkutan air yang melibatkan kawasan pedalaman dan sebagainya.

"Kita percaya melalui tunjuk ajar yang betul, projek ini akan berjaya kerana peserta hanya perlu memastikan lebah yang diternak membiak.

"Yang pasti, jualan daripada madu itu nanti akan menambah pendapatan peserta," katanya ketika merasmikan Projek Ternakan Lebah Madu di Kampung Pagi dekat sini semalam.

Turut hadir, Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris dan Ketua Pengarah LPP, Datuk Arpan Shah Satu.

Zainal menambah, permintaan terhadap madu lebah juga semakin meningkat dengan harga yang tinggi selain ramai mengakui khasiatnya.

Sementara itu, Ahmad Nazlan ketika ditemui memberitahu, projek ternakan lebah madu itu bakal mendatangkan pendapatan tetap kepada peserta.

Menurutnya, hasil daripada madu itu juga dicadangkan supaya dibeli oleh LPP sebelum dijual untuk pasaran tempatan.

"Madu lebah yang dihasilkan di kawasan Ulu Tembeling ini akan diletakkan logo LPP supaya pembeli lebih yakin bahawa produk yang dibeli adalah asli.

"Projek ini akan kita perluaskan supaya lebih ramai orang menyertainya," katanya.

Dalam pada itu, seorang pengusaha, Abdul Hamid Ibrahim, 52, memberitahu, ternakan lebah madu atau kelulut tidak memerlukan kos yang tinggi.

Katanya, penternak perlu mengetahui teknik penjagaan lebah termasuk bentuk kotak yang menjadi sarang pembiakan lebah berkenaan.

"Jika dijaga dengan betul, kita akan memperoleh hasilnya dalam masa dua minggu hingga sebulan.

"Jika penternak menghasilkan madu kelulut, pendapatannya lebih lumayan iaitu RM800 untuk satu kilogram," katanya.

Gangguan bekalan air di Kuantan

Posted: 25 Apr 2014 10:58 AM PDT

KUANTAN 25 April - Penduduk di beberapa kawasan di daerah ini akan mengalami gangguan bekalan air disebabkan kerja-kerja pembersihan berjadual kolam mendapan di Loji Air Lepar Hilir Fasa 1 di sini pada Isnin ini. Pengurus Kanan Daerah Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) Kuantan, Che Abdul Hamid Abdul Rahman berkata, gangguan yang bermula pukul 8 hingga 5 petang itu melibatkan kawasan Felda Lepar Hilir 1 hingga 7, Pulau Manis, Bandar Gambang, Taman Tema Air Gambang, Kolej Matrikulasi, Taman Saujana dan kawasan berhampiran dengannya. "Pengguna di kawasan terlibat akan terputus bekalan air dan dinasihatkan supaya menyimpan air secukupnya bagi mengelak berlaku kesulitan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved