Selasa, 29 April 2014

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Pendengaran alasan langgar perintah tuntutan RM4.4 juta, 19 Jun ini

Posted: 29 Apr 2014 11:51 AM PDT

Kiri Rosman Ridzwan, Hayati Mohammad

KUALA LUMPUR 29 April - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menetapkan 19 Jun ini untuk mendengar alasan tunjuk sebab oleh tokoh korporat, Datuk Rosman Ridzwan berhubung permohonan bekas isterinya yang mendakwa beliau gagal membayar tuntutan nafkah RM4.404 juta.

Hakim Syarie, Muhamad Abdul Karim Wahab turut memerintahkan pihak-pihak yang terlibat agar memfailkan afidavit sekiranya ada sebarang isu baharu yang berbangkit sebelum tarikh pendengaran tersebut.

Isu baharu yang dibangkitkan perlu disentuh oleh pihak-pihak di sesi soal balas pada tarikh yang ditetapkan," ujar hakim tersebut yang turut membatalkan waran tangkap terhadap Rosman kerana gagal hadir pada beberapa prosiding kes itu sebelum ini.

Terdahulu, peguam syarie, Siti Nor Aira Mat Johar yang mewakili plaintif, Hayati Mohammad, 55, membantah permohonan Rosman, 57, memfailkan afidavit terbaharu atas alasan terdapat perkara berbangkit kerana ia hanya akan menyebabkan kes itu terus berlanjutan tanpa penyelesaian.

Responden telah diberi peluang yang mencukupi sebelum ini untuk membuat pembelaan. Saya percaya ini hanya helah daripada mematuhi perintah mahkamah untuk membayar nafkah," katanya.

Peguam syarie, Yusmawati Ab. Ilah yang mewakili Rosman sebelum itu memberitahu, anak guamnya tidak bersedia untuk memberikan alasan tunjuk sebab pada prosiding hari ini kerana masih belum meneliti jawapan balas Hayati terhadap pembelaannya kerana baru menerimanya Jumaat lalu.

Yusmawati turut memaklumkan terdapat isu baharu yang timbul namun tidak dapat memberitahunya secara terbuka di mahkamah hari ini.

Hayati memfailkan permohonan tunjuk sebab terhadap bekas suaminya itu pada 9 Disember 2013 selepas pengarah syarikat telekomunikasi itu gagal mematuhi perintah mahkamah berhubung pembayaran nafkah selepas pasangan itu bercerai secara taklik pada 1 Mac 2007.

Pada 22 Mac 2013, mahkamah mengeluarkan perintah supaya Rosman membayar sejumlah RM4.404 juta kepada Hayati merangkumi bayaran mutaah (RM2.82 juta), nafkah tertunggak (RM1.52 juta), edah (RM30,000) dan hutang membaiki rumah berjumlah RM28,393.

Pasangan berkenaan berkahwin pada 27 Disember 1980 dan dikurniakan lima anak.

Rosman juga pernah berkahwin dengan dramatis Noniswara atau nama sebenarnya Monis Wara Baharuddin, 45, pada 31 Julai 2009 dan mereka bercerai secara taklik pada 18 Julai 2013.

Pada 28 September 2009, Rosman didenda sebanyak RM700 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas beliau mengaku bersalah memukul bekas isterinya, Azura Ibrahim pada 2005.

Sesiapa berhak lontar pendapat

Posted: 29 Apr 2014 11:51 AM PDT

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 29 April - Dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi, sesiapa juga berhak melontarkan pendapat mahupun kritikan terhadap mana-mana institusi pentadbiran.

Malahan di Dewan Rakyat, pemimpin parti pembangkang bebas memberikan pendapat mereka bagi penambahbaikan sistem pentadbiran negara.

Dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, bekas wartawan Utusan Malaysia, Raja Syahrir Abu Bakar turut menyatakan, artikel yang ditulis oleh beliau bertajuk Manjeet selalu burukkan kerajaan, Ikut rentak pembangkang, fitnah terhadap polis, mahkamah bertarikh 16 Ogos 2011, bukannya artikel memfitnah.

Katanya ketika disoal dalam pemeriksaan balas oleh peguam Hasnal Rezua Merican yang mewakili bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), N. Gobalakrishnan, artikel itu ditulis berdasarkan temu bual dengan bekas Ahli Parlimen Padang Serai itu menerusi telefon.

Raja Syahrir memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Nor Bee Ariffin pada perbicaraan kes saman fitnah Manjeet selaku plaintif terhadap Gobalakrishnan, beliau, Utusan Melayu (M) Bhd. (UMMB), dan Sistem Televisyen Malaysia Bhd. (TV3).

Menurut Raja Syahrir, kenyataan-kenyataan yang didakwa oleh Manjeet sebagai memfitnah peguam bela tertuduh pertama, N. Pathmanabhan itu dalam kes bunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya di Mahkamah Tinggi Shah Alam, pada pendapatnya, bukan suatu kenyataan yang memfitnah plaintif.

Saksi itu berkata, ini bukan kali pertama Manjeet menjadikan sesuatu perkara sebagai satu isu, misalnya pada tahun 1989, semasa memegang jawatan Setiausaha Majlis Peguam, ketika itu Badan Peguam Malaysia telah mendapatkan perintah menghina mahkamah terhadap beliau ekoran afidavitnya bertarikh 25 April 1989 berhubung dakwaan berbentuk skandal ke atas seorang hakim.

Raja Syahrir menyatakan, Mahkamah Agung (kini Mahkamah Persekutuan) memutuskan, kali pertama Manjeet menghina mahkamah dan didenda RM5,000 atau penjara tiga bulan.

Beliau menambah, Manjeet juga telah membuat akuan berkanun (SD) mendakwa Tan Sri Abdul Gani Patail telah mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara ketika itu, Allahyarham Tan Sri Mohtar Abdullah dan hukuman mati di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai alat tawar menawar bagi mendapatkan keterangan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setelah kesemua contoh tersebut diambil kira, Hasnal Rezua bertanya, adakah saksi itu boleh mengatakan, sebenarnya tiada satu pun kenyataan fitnah dibuat terhadap Manjeet.

Raja Syahrir bersetuju dengan kenyataan Hasnal Rezua itu.

Saman yang difailkan pada 26 September 2011 itu menyentuh kenyataan Gobalakrishnan yang disiarkan di akhbar Utusan Malaysia dan TV3 yang dikatakan mengkritik peribadi Manjeet, 72.

Manjeet mendakwa, Utusan Malaysia pada 17 Ogos 2011 menyiarkan artikel bertajuk `Manjeet selalu burukkan kerajaan' dengan memetik kritikan Gobalakrishnan terhadap Manjeet, manakala TV3 turut menyiarkan komen yang sama pada malam 16 Ogos 2011.

Mahkamah turut mendengar keterangan daripada Pengarang Urusan Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Bhd., Datuk Mohd. Ashraf Abdullah yang menganggap, kenyataan Gobalakrishnan hanyalah suatu komen atau pendapat dan tiada sebarang agenda politik.

Beliau bagaimanapun bersetuju dengan kenyataan peguam Americk Sidhu yang mewakili Manjeet, cara penyampaian berita dan penggunaan perkataan 'diselar' dengan meletakkan gambar Manjeet, mana-mana pihak yang menonton siaran tersebut akan menganggap, peguam terbabit melakukan kesalahan.

Menurut Mohd. Ashraf, beliau tidak bersetuju dengan cadangan Americk yang mengatakan pihaknya sepatutnya mendapatkan pandangan daripada peguam yang lebih sesuai membuat kenyataan berhubung kes bunuh Sosilawati.

Namun begitu, ujar beliau, selepas berita tersebut disiarkan oleh TV3, Manjeet tidak membuat sebarang kenyataan untuk membidas kembali kenyataan itu.

Saksi itu ketika disoal oleh Hasnal Rezua, bersetuju dengan kenyataan peguam itu yang mengatakan, apabila seseorang itu `menyerang' dan mengkritik kerajaan, itu tidak bermakna pihak terbabit telah melakukan kesalahan memfitnah.

Perbicaraan bersambung 5 Mei ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved