Jumaat, 25 April 2014

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Dadah: Saiful Apek didenda RM2,500

Posted: 25 Apr 2014 10:58 AM PDT

SHAH ALAM 25 April - Pelawak dan pelakon popular, Saiful Apek hari ini didenda RM2,500 oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana mengambil dadah jenis kanabis, empat tahun lalu.

Saiful Apek atau nama sebenarnya Mohd. Saifulazam Mohamed Yusoff (gambar), 45, dijatuhi hukuman itu setelah Hakim Datuk Nurchaya Arshad mendapati dia bersalah atas tuduhan itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret Petaling Jaya yang melepas dan membebaskannya sebelum ini.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman yang sama terhadap tiga lagi tertuduh, Shah Zainatul Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 30, Shaiful Baharom, 26, dan Noremy Mohamad, 30, yang merupakan pekerja di syarikat milik Saiful Apek, Gitu-Gitu Production.

Sekiranya gagal membayar denda, kesemua tertuduh diperintah menjalani hukuman penjara enam bulan.

Hakim Nurchaya turut memerintahkan kesemua tertuduh diletakkan di bawah pengawasan selama tiga tahun.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Ishrakh Saad, manakala Saiful Apek dan ketiga-tiga rakannya diwakili peguam, Zambri Idrus.

Mahkamah membuat keputusan itu setelah membenarkan rayuan pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Majistret Petaling Jaya yang melepas dan membebaskan kesemua mereka daripada pertuduhan itu di akhir kes pembelaan pada 30 September tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Jalan LP 2A/1, Taman Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada pukul 11 malam, 12 Jun 2010.

Isteri saman syarikat insurans RM2 juta

Posted: 25 Apr 2014 10:58 AM PDT

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

PULAU PINANG 25 April - Seorang wanita yang kematian suami akibat kanser paru-paru hari ini memfailkan saman terhadap sebuah syarikat insurans yang didakwa enggan membayar sebarang pampasan kepadanya atas alasan tidak memenuhi faedah perubatan.

Ooi Cheng Cheng, 43, berkata, suaminya, Wilson Tan Teck Hooi atas pujukan wakil syarikat AXA Affin General Insurance Bhd. yang beralamat di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur membeli polisi insurans syarikat berkenaan yang dinamakan Cancer Plus Plan pada 1 November 2012.

Menurut pernyataan tuntutan yang difailkan oleh Cheng Cheng selaku plaintif di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, ketika suaminya membeli polisi insurans itu, dia didakwa tidak dimaklumkan tentang sebarang syarat selain syarikat terbabit tidak meminta laporan pemeriksaan kesihatan.

Sementara itu, peguam Jason Ong Khan Lee yang mewakili plaintif berkata, Wilson yang juga seorang pengurus kilang meninggal dunia akibat kanser tahun lalu dan isterinya menuntut ganti rugi RM2 juta kerana syarikat berkenaan gagal membuat bayaran walaupun telah diserahkan dokumen prognosis.

"Klausa 2 pada polisi berkenaan memperuntuk syarikat tersebut akan membayar pampasan berdasarkan pelan polisi yang telah dibeli sekali gus sekiranya disahkan menghidap penyakit berkenaan dengan nilai mencecah RM150,000, "katanya kepada pemberita.

Jason berkata, Klausa 3 insurans berkenaan pula memperuntuk premium bulanan yang harus dibayar si mati ialah sebanyak RM55.30 dan Klausa 5 pula memperuntuk masa sehingga 90 hari.

Menurutnya, selaras dengan Klausa 3 polisi insurans berkenaan, Wilson ketika masih hidup telah membuat bayaran premium bulanan sehingga bulan kematiannya.

"Malangnya beliau telah meninggal dunia pada 14 April 2013 dan pada 20 Januari lalu, plaintif telah menelefon syarikat terbabit untuk membuat tuntutan tetapi dimaklumkan tuntutan berkenaan ditolak kerana tidak memenuhi syarat," katanya.

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi RM2 juta atau satu jumlah yang dianggap sesuai oleh mahkamah termasuk ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved