Selasa, 29 April 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Umpama dilanda gempa bumi

Posted: 28 Apr 2014 12:08 PM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusagroup.com.my

PENDUDUK mendakwa jalan yang runtuh berpunca daripada projek membina kemudahan LRT berhampiran kediaman mereka.

KUALA LUMPUR 28 April - Ribuan penghuni unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah di Bukit Jalil dekat sini bimbangkan keselamatan mereka ekoran kejadian tebing runtuh berhampiran Blok J di PPR berkenaan dua minggu lalu.

Kejadian pada awal pagi selepas hujan lebat itu dipercayai berpunca daripada projek sambungan jajaran transit aliran ringan (LRT) laluan Ampang dan Kelana Jaya.

Penduduk mendakwa, mereka tidak dapat tidur lena kerana sehingga hari ini tiada sebarang kerja-kerja baik pulih dilakukan oleh pihak bertanggungjawab.

Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi berkenaan hari ini mendapati aduan penduduk di kawasan perumahan itu perlu dipandang serius.

Hasil pemerhatian mendapati, runtuhan tebing sepanjang kira-kira 10 meter dengan kedalaman dua meter itu umpama terbentuk selepas gempa bumi.

Pihak kontraktor terlibat juga dilihat hanya menutup kawasan tersebut dengan pita berwarna merah bagi menunjukkan ia kawasan larangan.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) PPR Kampung Muhibbah Fasa Dua, Mohd. Zairi Rasidi Abd. Hadi berkata, kejadian tersebut mengundang bahaya kepada para penghuni sekitar khususnya yang tinggal di blok J.

"Jika ia tidak dibaiki dengan segera, mungkin keadaan akan bertambah buruk. Kami juga bimbang jika insiden bangunan runtuh seperti Highland Towers berulang," katanya ketika ditemui di sini.

Beliau juga berharap pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)menyelesaikan masalah kerosakan jalan yang menghantui mereka selama ini yang didakwa berpunca daripada kenderaan berat keluar masuk melalui jalan di situ.

"Antara laluan yang mengalami kerosakan teruk ialah jalan yang menghubungkan ke Bandar Kinrara, Sungai Besi dan Puchong selain Jalan 1/125 menghala ke PPR Kampung Muhibbah.

"Masalah tersebut menyebabkan tayar kenderaan pengguna jalan raya kerap rosak selain menjadi punca kemalangan," jelasnya.

Katanya, turut menghantui penghuni ialah masalah banjir lumpur yang masih belum diatasi sepenuhnya pihak berkuasa tempatan itu.

Sementara itu, seorang penduduk, Moes Mail Mohd Nazri, 32, berkata, tebing runtuh itu adalah isu terbaharu yang dialami penduduk selepas pelbagai masalah lain masih belum diatasi.

Katanya, keadaan jalan rosak di kawasan itu benar-benar membimbangkan terutama kepada penunggang motosikal.

Turut meluahkan perasaan sama, Aiman Sahak, 26.

Dia berharap pihak berwajib segera menyelesaikan masalah yang menghantui penghuni di situ bagi memastikan keselamatan dan keselesaan mereka.

"Bukannya tiada kerja-kerja pembaikan tetapi selepas lubang pada jalan itu ditampal, selang beberapa hari kemudian, ia rosak semula.

"Saya berharap pihak DBKL memandang isu ini lebih serius," katanya.

Prasarana nafi projek LRT punca tebing runtuh

Posted: 28 Apr 2014 12:08 PM PDT

KUALA LUMPUR 28 April - Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) menafikan dakwaan kerja-kerja pembinaan projek sambungan jajaran transit aliran ringan (LRT) bagi laluan Ampang berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah di Bukit Jalil dekat sini punca kejadian tebing runtuh di situ.

Ketua Jabatan Komunikasi Kumpulan dan Pemasaran Strategik Prasarana, Lim Jin Aun berkata, hasil siasatan mendapati ia bukan di bawah tanggungjawab Prasarana sebaliknya merupakan projek pembinaan yang dilaksanakan pihak pemaju lain.

"Selain kerja-kerja pembinaan laluan LRT, terdapat beberapa projek dilaksanakan pemaju lain berhampiran kawasan itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas rungutan penduduk mengenai kejadian tebing runtuh di PPR Kampung Muhibbah kira-kira dua minggu lalu yang didakwa berpunca daripada kerja-kerja pembinaan berhampiran.

Pada masa sama, para penghuni itu turut berasa tertekan dan bimbang dengan masalah kerosakan jalan yang teruk termasuk kejadian banjir lumpur di kawasan perumahan tersebut.

Sementara itu, jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, pihaknya akan menyiasat sama ada kejadian tebing runtuh itu melibatkan projek DBKL selain mengambil tindakan susulan berhubung kerosakan jalan di PPR berkenaan.

Dua kereta tenggelam akibat banjir kilat

Posted: 28 Apr 2014 12:08 PM PDT

BEBERAPA petugas DBKL membantu salah seorang mangsa selepas keretanya tenggelam ekoran banjir kilat di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSANJEFFRI IRAN

KUALA LUMPUR 28 April - Dua buah kereta jenis Toyota Estima dan Proton Iswara tenggelam ekoran banjir kilat di terowong Jalan Chan Sow Lin berdekatan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di sini, hari ini.

Hujan lebat selama satu jam yang turun sejak pukul 5 petang menimbulkan suasana kelam-kabut apabila laluan tersebut dinaiki air sedalam tujuh kaki di kedua-dua arah.

Bagaimanapun, pemandu kedua-dua kereta itu terselamat.

Jurucakap Polis Trafik Kuala Lumpur memberitahu, sebanyak 10 anggotanya termasuk skuad bencana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bergegas ke tempat kejadian selepas mendapat laporan.

"Punca kejadian masih disiasat tetapi berdasarkan maklumat awal, ia mungkin berpunca daripada masalah sistem perparitan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Sementara itu, salah seorang mangsa yang juga pemandu peribadi, Shamsuddin Dolah, 55, sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Damansara selepasmenghantar rakan ke pusat servis kenderaan di Jalan Dua, Jalan Chan Sow Lin.

Katanya, dia dapat menyelamatkan diri sejurus air mula naik selain sempat menyelamatkan dokumen penting miliknya.

"Semasa saya melalui terowong tersebut, air mula naik secara perlahan-lahan. Tidak sampai beberapa minit kemudian air datang tiba-tiba umpama sebuah tangki yang pecah.

"Sebelum itu, ada sebuah lori berhenti di hadapan kereta saya dan enjinnya tiba-tiba tidak boleh dihidupkan.

"Bagaimanapun, ketika air mula naik, enjin lori berkenaan dapat dihidupkan dan sempat beredar dari situ manakala kereta saya ditenggelami air," jelasnya yang memandu kereta Toyota Estima.

Katanya, sejurus selepas itu dia keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri dan pihak polis dan DBKL tiba selepas kejadian tersebut selain mengalami kerugian kira-kira RM140,000.

"Saya berharap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dapat mengambil tindakan dan menyelesaikan masalah ini yang berpunca daripada sistem perparitan bagi memastikan ia tidak berulang," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved