Ahad, 27 April 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


20,000 meriahkan Fiesta Riuh Sakan Malaysia dan Kosmo!

Posted: 26 Apr 2014 12:02 PM PDT

Oleh HAKIMI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

SEBAHAGIAN daripada kanak-kanak menyertai pertandingan acara mewarna yang berlangsung meriah dalam Pesta Riuh Sakan Utusan Malaysia dan Kosmo! di Putrajaya, semalam. - MINGGUAN/AZLAN HADI ABU BAKAR

PUTRAJAYA 26 April - Seramai 20,000 pengunjung dijangka memeriahkan penganjuran Fiesta Riuh Sakan Utusan Malaysia dan Kosmo! yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam di Monumen Alaf Baru, Presint 2 di sini.

Pengurus Kanan Pengedaran Utusan Melayu (M) Bhd., Rosman Zulkifli berkata, sasaran tersebut dibuat berdasarkan kehadiran pengunjung yang begitu menggalakkan setelah dua hari fiesta berlangsung.

Beliau berkata, program-program anjuran Kumpulan Utusan mendapat sambutan yang amat baik terutama pertandingan karaoke, Rentap Extreme Explorace 100 Plus, ceramah rileks santai dan mewarna bagi kanak-kanak.

"Penganjuran Fiesta Riuh Sakan Utusan Malaysia dan Kosmo! di Putrajaya merupakan edisi ketiga, kejayaan penganjuran kali ini akan menjadi momentum kepada penganjuran edisi keempat di Pantai Timur," katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di tapak fiesta, di sini hari ini.

Sementara itu, katanya, fiesta kali ini turut melibatkan artis dan selebriti dalam sesi bersama peminat yang memberi peluang kepada pengunjung bergambar dan mendapatkan autograf artis diminati.

Beliau berkata, antara rakan strategik yang turut memeriahkan fiesta kali ini ialah 100 Plus, Nescafe, Adabi, Prosboc, A Famosa dan Lipton.

Sementara itu, menurut Rosman, sebanyak 100 peserta menyertai pertandingan Rentap Extreme Explorace 100 Plus anjuran Kumpulan Utusan sempena fiesta itu.

"Pertandingan ini berkonsepkan permainan iaitu para peserta akan menempuh pelbagai halangan, selain mereka diuji dari segi mental dan fizikal bagi menyelesaikan sesuatu masalah," katanya.

Juara bagi pertandingan berkenaan dimenangi kumpulan Budjet Good Good, sekali gus berjaya membawa pulang hadiah RM1,000 berserta medal tajaan 100 Plus, hamper dan barangan eksklusif Kumpulan Utusan.

Tempat kedua pula dimenangi oleh Geng Kaki Lari dan membawa pulang RM600, hamper serta hadiah iringan lain manakala, tempat ketiga dan keempat dimenangi oleh kumpulan Bisa Habis serta Nuklear Girl, masing-masing membawa pulang RM400 dan RM200.

Mini studio jadi tumpuan ramai

Posted: 26 Apr 2014 12:02 PM PDT

PUTRAJAYA 26 April - Gerai Klik! Klik Pose Mini Studio yang memberi peluang orang ramai bergambar untuk muka hadapan produk terbitan Kumpulan Utusan menjadi tumpuan pengunjung di Fiesta Riuh Sakan! anjuran Utusan Malaysia, Kosmo! di sini.

Gerai tersebut yang terletak berhampiran pentas utama Fiesta Riuh Sakan di Monumen Alaf Baru, Presint 2 di sini menawarkan pakej bergambar secara solo atau berkeluarga kepada pelanggan berminat.

Menurut jurucakap Unit Pengurusan Jenama, Utusan Melayu (M) Bhd., Masyanti Abdul Rahim, sejak dibuka pagi, hampir 50 orang telah mengunjungi gerai tersebut.

Lebih menarik, katanya, orang ramai dapat merasai pengalaman artis dan model bergaya ketika gambar mereka diambil untuk menghiasi majalah terbitan Kumpulan Utusan.

"Di mini studio ini, kami membawa khas jurugambar profesional dari Utusan Malaysia untuk pelanggan merasai pengalaman sebenar sebagai model.

"Caj yang dikenakan ialah RM15 sekeping dan tambahan RM2 sekiranya pelanggan mahu memasukkan data," katanya kepada Mingguan Malaysia, di sini hari ini.

Jenice dakwa Way Keng gagal selesai masalah setempat

Posted: 26 Apr 2014 12:02 PM PDT

KUALA LUMPUR 26 April - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Tiew Way Keng dibidas kerana didakwa gagal menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi orang ramai di kawasan berkenaan selepas hampir setahun beliau diberi kepercayaan sebagai wakil rakyat.

Bekas ADUN Teratai, Jenice Lee Ying Ha berkata, isu-isu yang perlu ditangani segera oleh Way Keng adalah masalah sampah tidak dikutip mengikut jadual, kesesakan lalu lintas dan bantahan penduduk terhadap projek pembinaan kondominium baharu di Pandan Perdana.

Menurut beliau, Way Keng tidak boleh membiarkan semua isu itu berpanjangan dan mesti dipanjangkan kepada kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor serta pihak berkuasa tempatan untuk tindakan selanjutnya.

"Malangnya, dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor baru-baru ini, Way Keng tidak membangkitkan tentang masalah-masalah yang telah menimbulkan keresahan masyarakat setempat di DUN Teratai.

"Seolah-olah beliau tidak tahu apa isu hangat yang sedang diperkatakan oleh orang ramai di DUN Teratai sekarang," katanya dalam sidang akhbar di Taman Muda, Ampang di sini hari ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved