Isnin, 28 April 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Meterai TPPA jika tak jejas kerajaan

Posted: 27 Apr 2014 11:39 AM PDT

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
utusanjohor@utusan.com.my

Mohamed Khaled

BATU PAHAT 27 April - Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) mungkin hanya boleh ditandatangani oleh Malaysia sekiranya perkara itu tidak menjejaskan perolehan pendapatan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perjanjian itu juga tidak ada halangan untuk ditandatangani sekiranya ia tidak menggugat dasar afirmatif negara termasuk hak istimewa bumiputera.

"Jika dua perkara itu terjejas dan tidak terjamin, TPPA yang mendapat pelbagai reaksi semua pihak seharusnya tidak perlu ditandatangani, kita tidak bersetuju jika perolehan kerajaan termasuk kerajaan negeri terjejas. Misalnya, kerajaan negeri mahu buka tender atau membeli barangan dan pihak luar negara juga boleh masuk, maka ia akan menjejaskan rakyat tempatan, itu yang kita tidak mahu.

"Begitu juga dengan soal dasar afirmatif negara termasuk hak istimewa bumiputera, kalau boleh jangan diusik dan jika dua perkara itu dipersetujui serta negara lain bersetuju, saya ingat TPPA tidak ada masalah untuk ditandatangani," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Pemberian Rebat Air Peringkat negeri dan penyampaian Notis 5A di sini hari ini.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Mohamad Aziz; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Md. Jais Sarday dan ADUN Semarang, Datuk Samsolbari Jamali.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desakan beberapa pihak di negara ini supaya Malaysia tidak menandatangani perjanjian tersebut berikutan ia dibimbangi akan menjejaskan dan membawa kesan buruk kepada rakyat.

Sementara itu, kata Mohamed Khaled, negara juga perlu melihat kepada skop yang lebih luas termasuk sama ada negara serantau yang terlibat dengan TPPA bersetuju menandatangani perjanjian berkenaan atau sebaliknya.

"Sekiranya negara serantau menandatangani TPPA tetapi kita tidak, ia juga bakal memberi kesan kepada negara kerana Malaysia adalah sebuah negara dagang dan apa yang penting, jika TPPA bersetuju dengan syarat yang kita beri selain tidak menjejaskan hak rakyat ia wajar diteruskan.

"Memang ada pihak yang menentang TPPA dan mereka mempunyai alasan masing-masing tetapi kita perlu lihat kepada skop lebih luas mengenai survival negara kita," katanya.

Banteras kegiatan subversif kumpulan penganut Kristian

Posted: 27 Apr 2014 11:39 AM PDT

JOHOR BAHRU 27 April - Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) menggesa pihak berkuasa khususnya jabatan agama Islam negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) membanteras kegiatan subversif oleh sekumpulan penganut Kristian yang cuba mempengaruhi anak muda Melayu untuk murtad.

Presidennya, A. Rahman Mahadi berkata, langkah secara agresif wajar dilakukan kerana kumpulan berkenaan menggunakan pelbagai strategi termasuk menyebarkan risalah ajaran Kristian dalam bahasa Melayu yang disifatkan sebagai taktik untuk mempengaruhi dan merosakkan akidah anak muda Melayu di negara ini.

"Selain risalah tersebut, turut membimbangkan adalah kewujudan gereja yang tumbuh bagaikan cendawan, di mana mereka menggunakan premis rumah kedai untuk dijadikan gereja secara berleluasa yang boleh dilihat di banyak taman perumahan.

"Sehubungan ini kami berharap pihak berkuasa khususnya jabatan agama negeri dan PBT terbabit menyemak semula status rumah kedai yang dijadikan gereja.

Kami percaya rumah ibadat itu dijadikan pusat beroperasi doktrin mubaligh Kristian di seluruh negara untuk mengembangkan agama mereka kepada umat Islam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan bantahan penyebaran risalah agama Kristian dalam bahasa Melayu kepada umat Islam di Taman Munsyi Ibrahim, di sini hari ini.

Yang turut serta dalam bantahan itu ialah Naib Dipertua 1 Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Johor, Mohd. Gouth Yusoff dan Ketua Penerangan Perkasa Johor, Rosli Othman.

Bantahan tersebut berikutan risalah yang diedarkan oleh pihak tertentu berhubung undangan untuk menghadiri ceramah agama Kristian yang menggunakan bahasa Melayu di beberapa kawasan di bandar raya ini termasuk di Taman Bukit Indah, Gelang Patah dan Nusajaya pada 13 dan 14 April serta semalam.

Sementara itu, Rosli berkata, pihaknya mahukan pihak berwajib dan PBT tidak berkompromi dalam isu ini kerana ia boleh menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini dan merupakan pencerobohan yang amat serius kerana melanggar Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara (11) (4); bahawa dakyah agama lain kepada umat Islam adalah dilarang.

"Oleh itu kami membantah dan memandang serius terhadap cubaan untuk menggunakan kalimah Allah dalam Bible dan apa juga upacara agama Kristian dalam Bahasa Melayu. Kerana motifnya adalah sebagai cubaan mempengaruhi orang Melayu agar menganut Kristian.

"Kalau boleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) senarai hitam orang Islam yang sudah murtad dengan mengeluarkan kad pengenalan baru yang tidak tercatat status agama dan secara automatik mereka tidak berhak mendapatkan apa juga keistimewaan yang dimiliki oleh orang Melayu," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved