Ahad, 27 April 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


JAIJ tawar dalami ilmu taranum di Selangor

Posted: 26 Apr 2014 12:02 PM PDT

Oleh AZIZI MAJID
utusanjohor@utusan.com.my

Abd. Mutalip Abd. Rahim (kanan) menyampaikan cenderamata penceramah kepada Datuk Ahmad Faizul Al- Hafiz (tengah) sambil diperhatikan oleh Syed Ahmad Syed Abdullah Al-Aidrus pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Qurra Negeri Johor dan Kursus Peningkatan Taranum Tilawah Al-Quran di Johor Bahru, semalam. - Mingguan/Bazlan Ibrahim

JOHOR BAHRU 26 April - Jabatan Agama Johor (JAIJ) memperuntukkan sebanyak RM200,000 bagi membolehkan qari dan qariah di negeri ini mendalami ilmu taranum al-Quran bermula tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim berkata, qari dan qariah yang berminat akan mempelajari ilmu taranum di peringkat sijil itu di Darul Quran, Kuala Kubu Baru, Selangor.

"Inisiatif ini diambil bagi membolehkan qari dan qariah dari negeri ini mendalami serta meningkatkan ilmu taranum al-Quran mereka daripada tenaga pengajar berpengalaman.

"Justeru, adalah diharap agar qari dan qariah dapat merebut peluang yang disediakan ini agar mereka dapat pergi lebih jauh termasuklah mewakili negara pada pertandingan tilawah al-Quran," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Qurra' negeri Johor dan Kursus Peningkatan Taranum Tilawah Al-Quran di Pusat Islam Iskandar di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Persatuan Qurra negeri, Syed Ahmad Syed Abdullah Al-Aidrus.

Dalam pada itu, Abd. Mutalip berkata, lepasan sekolah menengah yang pernah menyertai pertandingan tilawah al-Quran digesa agar tidak mensia-siakan bakat mereka meskipun telah menyambung pengajian dan bekerja.

"Kita mahu mereka ini terus mendalami ilmu taranum al-Quran selepas tamat persekolahan kerana adalah satu kerugian jika bakat yang ada itu dibiarkan begitu sahaja.

"Selain itu, ibu bapa juga boleh memainkan peranan masing-masing dengan menerapkan budaya membaca al-Quran dalam kalangan anak-anak sejak mereka kecil lagi," katanya.

Pemuda UMNO Tebrau tubuh SRCC

Posted: 26 Apr 2014 12:02 PM PDT

Iruan Zulkifli (dua dari kiri) melancarkan penubuhan SRCC Parlimen Tebrau di Kompleks Rohaizat Corporation, Taman Daya, Johor Bahru, semalam. Turut kelihatan Syahrin Md. Jamaludin (kiri).- Mingguan/NURUL HUDA HASSAN

JOHOR BAHRU 26 April - Dalam usaha menyemarakkan aktiviti sukan tempatan tanpa mengira fahaman politik Pemuda UMNO Bahagian Tebrau menubuhkan Kelab Sukan dan Rekreasi (SRCC) di sini hari ini.

Majlis pelancarannya disempurnakan Pegawai Khas Menteri Belia dan Sukan, Iruan Zulkifli di Kompleks Rohaizat Corporation di Taman Daya di sini, sekali gus menyasarkan penyertaan 2,000 ahli dalam tempoh tiga tahun.

Bersempena pelancaran kelab berkenaan yang turut dihadiri Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tebrau, Syahrin Md. Jamaludin, satu pertandingan futsal disertai 30 pasukan masing-masing 23 lelaki dan tujuh wanita turut diadakan.

Setiausaha SRCC, Mohd. Rizal Rahmat berkata, usaha penubuhan kelab itu bertujuan untuk menggiatkan lagi pelbagai aktiviti riadah dan kesukanan dalam kalangan penduduk dan belia di kawasan berkenaan.

"Penubuhan kelab ini merupakan antara cara kita untuk mendekatkan diri dengan golongan muda tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik bagi bersama-sama bergiat aktif dan mengamalkan gaya hidup sihat.

"Pada masa sama, kita juga boleh mengetengahkan bakat baharu yang mempunyai potensi untuk berkembang di peringkat lebih tinggi," katanya ketika ditemui di Kompleks Rohaizat Corporation di sini hari ini.

Beliau berkata, penganjuran pertandingan futsal itu merupakan aktiviti pertama dijalankan kelab tersebut dan lebih banyak program sedang dirancang dalam masa terdekat ini iaitu Fun Ride Bicycle.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved